Artikel

SIARAN MEDIA - Swades

Dikemaskini pada .

 

Jati Diri Cintai Negara Sendiri, Filem “Swades” Lakonan Shah Rukh Khan Di TV2

KUALA LUMPUR, 15 September 2017 – Setiap individu perlu memiliki nilai kecintaan yang tinggi terhadap negara sendiri. Justeru bertujuan menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara serta menanam sifat jati diri dan sayangkan negara dalam kalangan masyarakat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menambah semarak rasa cintakan negara terutama dalam ‘mood’ meraikan Hari Kebangsaan menerusi tayangan filem “Swades” pada 20 September ini, pukul 9.30 malam mengisi slot Bollygood di TV2.

Filem lakonan mantap aktor tersohor Shah Rukh Khan serta dibantu Gayatri Joshi, Kishori Balal, Rajesh Vivek, Lekh Tandon dan Daya Shankar Pandey, ia berkisah tentang seorang pemuda India, Mohandes yang bekerja dengan NASA di Amerika Syarikat. Konflik terjadi ketika dia memutuskan untuk kembali ke India mencari wanita yang pernah mengasuhnya sejak kecil ketika ayah dan ibunya masih hidup. Baginya wanita itu adalah ibu kedua untuknya. Dia berniat untuk membawa wanita itu tinggal bersamanya di Amerika.

Namun, kenyataan berbeza terjadi setibanya di India, dia menuju ke sebuah desa tempat dimana ibu angkatnya itu tinggal. Di kampung tersebut banyak hal dan pelajaran yang dia lalui. Dia melihat suatu keadaan yang terjadi di negaranya. Berbeza halnya di Amerika. Orang-orang di negaranya (India) merasa bangga dengan kebudayaan yang mereka miliki namun kurang memahami erti pendidikan dan kemajuan bagi generasinya. Kasta salah satu yang menjadi perkara ditonjolkan dalam filem ini. Selain itu sorotan terhadap kemiskinan di bahagian daerah di India menjadi sesuatu sangat menarik.

Mohan melakukan banyak perubahan di kampung itu. Tetapi, NASA memanggilnya kembali untuk menyelesaikan projek besar di Amerika iaitu berkaitan sebuah satelit.

Mohan merasa berat meninggalkan India bukan hanya kerana disebabkan oleh Khavariamma (wanita tua yang sangat dirindukannya) yang memutuskan untuk tidak ikut bersamanya ke Amerika. Ia turut disebabkan hatinya telah terpaut pada seorang gadis cantik bernama Gita yang tinggal di situ. Gita merupakan seorang pengajar di sekolah yang ada di kampung tersebut.

Setelah projeknya dengan NASA berhasil dia memutuskan untuk kembali ke India bukan hanya kerana kecintaannya pada Khavariamma, juga kecintaannya kepada gadis yang bernama Gita, tetapi ia lebih kerana kecintaannya kepada negaranya sendiri.

Mohan sanggup mengetepikan kemewahan dan kesenangan hidup juga kerjayanya yang sudah berada di kemuncak semata-mata mahu kembali berbakti kepada negaranya sendiri. Namun adakah tindakannya itu dipersetujui oleh orang-orang di sekelilingnya? Bagaimanakah cara dan pendekatan yang digunakannya untuk meyakinkan orang-orang kesayangannya bahawa pilihan untuk kembali ke negara sendiri itu sememangnya tepat?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

 

- ### -

 

Cetak