Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Artikel

SIARAN MEDIA - Raikan Deepavali 2017 Bersama RTM

Dikemaskini pada .

 

Raikan Deepavali 2017 Bersama RTM

KUALA LUMPUR, 26 September 2017 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyajikan beberapa rancangan istimewa sempena Hari Deepavali yang bakal disambut pada 18 Oktober ini.

Program istemewa merangkumi muzikal, filem dan telefilem akan disiarkan untuk tontonan umum menerusi TV1 dan TV2 pada 15, 17, 18 dan 19 Oktober depan.

Saluran TV1 menyiarkan telemovie bertajuk “Antara Capati dan Belacan” pada 15 Oktober ini, pukul 10.05 pagi lakonan Sabhi Saddi, Syed Aiman, Serina Redzuawan, Fir Affandi dan Norisz Ismail. Telemovie arahan Yusof Kelana ini berkongsi kisah perhubungan insan dari dua budaya berbeza. Zulaikha, peguam kes mahkamah syariah yang sedang menangani kes perceraian seorang isteri Melayu bersuamikan lelaki Pakistan, yang melibatkan hak penjagaan anak. Pada masa yang sama, perhubungan mesra Zulaikha dengan Kamal, tunangnya sering dicemburui oleh Norisz, teman peguam sepejabatnya.

Selepas Zulaikha dan Norisz selesai minum di restoran, Zulaikha tertinggal telefon bimbitnya di meja restoran. Shakeer, pekerja restoran berbangsa Pakistan terlihat telefon Zulaikha, lalu mengambil dan mengejar Zulaikha, hanya untuk memulang hak milik Zulaikha. Kerana terkejut dan takutkan pendatang asing, Zulaikha memecut lari, tetapi terlanggar tiang bangunan.

Disebabkan salah faham, Zulaikha menganggap Shakeer menyusahkannya. Norisz yang tahu kisah Zulaikha lari, terjatuh dan dibantu oleh Shakeer, selalu bergurau mengusik Zulaikha. Satu hari, mereka pergi makan di restoran tempat Shakeer bekerja dan minta roti capati yang dibuat oleh Shakeer. Dalam keadaan bencikan Shakeer, Zulaikha tetap belikan beberapa roti capati untuk keluarganya. Mereka semua sukakan capati yang Shakeer buat.

Satu hari Zulaikha terlibat dengan satu kemalangan jalan raya dan seterusnya menjadikan kakinya lumpuh. Kamal memutuskan pertunangan mereka. Shakeer semakin akrab dengan keluarga Zulaikha dengan membawa roti capati untuk makan bersama keluarga Zulaikha dan mereka makan roti capati bersama sambal belacan. Namun keintiman Zulaikha dengan Shakeer tidak begitu dipersetujui oleh kedua orang tua Zulaikha.

Sementara itu pada 17 Oktober ini, sehari sebelum menjelangnya perayaan, TV2 memulakan siaran program khasnya dengan menyiarkan muzikal bertajuk “Amarkala Deepavali”, pukul 8.30 malam terbitan Unit Hiburan TV RTM untuk hiburan penonton.

Sepanjang hari sambutan Deepavali pada 18 Oktober ini, TV2 menyiarkan telemovie bertajuk “Innoru Nalai”, pukul 10.00 pagi yang mengisahkan Ramalingam seorang pesara yang terpaksa menetap sementara di rumah kebajikan warga emas. Ia dibintangi pelakon K.S Maniam, Vasantha Ponnudurai, dan Ratna Gowri.

Diikuti pukul 2.00 petang tayangan filem “36 Vayadhile” berlatarkan watak suri rumah bernama Vasanthi yang menumpukan seluruh perhatiannya kepada kesejahteraan keluarga. Namun Vasanthi mula rasa tertekan kerana perlu memenuhi jangkaan masyarakat sehingga tidak berpeluang mengejar impiannya. Pelakon yang menjayakan filem ini iaitu Jyothika, Rahman dan Nassar.

Hari sama sebelah malamnya pukul 9.30 malam disiarkan filem “Chennai Express” lakonan mantap Deepika Padukone, Shah Rukh Khan dan Sathyaraj, kisah perjalanan Rahul dari Mumbai ke Rameshwaram untuk membuang abu datuknya di sungai bagi memenuhi permintaan terakhir datuknya. Dia menaiki Chennai Express dan bertemu dengan Meena yang sedang melarikan diri daripada perkahwinan yang diatur oleh keluarganya.

Esoknya, 19 Oktober, pukul 2.00 petang saksikan filem “Goreyan Nu Daffa Karo” kisah Kala yang telah jatuh cinta dengan Aleesha, gadis yang berasal dari Kanada. Cinta mereka terhalang kerana perbezaan budaya. Kala berjuang untuk memastikan cinta dan keluarga mereka berjaya disatukan. Filem ini menampilkan pelakon Amrinder Gill, Amrit Maghera, Yograj Singh, Binnu Dhillon dan Aman Khathar.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

- ### -

Cetak Emel

offcanvas