Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Artikel

SIARAN MEDIA - Yasmine

Dikemaskini pada .

 

Filem “Yasmine”, Gabungan Pelakon Brunei, Malaysia dan Indonesia di TV2

 

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2017 – Cerita tentang falsafah ilmu silat, setia kawan dan semangat yang tidak pernah padam dikongsikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tayangan filem bertajuk “Yasmine” pada 21 Oktober ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2.

 

Sesuatu yang istimewa apabila filem Brunei mengetengahkan pesilat wanita ini menggabungkan pelakon tiga negara serumpun Brunei, Malaysia dan Indonesia yang menonjolkan dialog bahasa, lokasi penggambaran, tradisi dan adat kebudayaan Brunei Darussalam.

Filem ini menampilkan pelakon popular Brunei iaitu Liyana Yus, Nadiah Wahid dan Jazz Hayat juga kemunculan pelakon terkenal Malaysia dan Indonesia termasuklah Reza Rahadian, Agus Kuncoro, Roy Sungkono, Aryl Falak, Nabila Huda, Mentari De Marelle, Dato' M. Nasir, Dian P. Ramlee, Carmen Soo, Soo Wincci, Lim Ching Miau dan Maharasyi Hanza.

“Yasmine” membawa penonton mengikuti kisah Yasmine, pelajar yang aktif di sekolah hidup berdua dengan ayahnya, Fahri, yang tetap menduda setelah isterinya meninggal dunia. Sayangnya kerana Fahri hanyalah pegawai perpustakaan negeri, dia tak mampu membiayai persekolahan anaknya itu ke sekolah terkenal di Brunei.

Pada masa sama Yasmine jatuh cinta dengan Adi, jaguh dan juara silat antarabangsa di London yang telah balik ke Brunei. Malangnya Adi lebih suka kepada Dewi yang kini dianggap pesaing oleh Yasmine. Yasmine membuat keputusan jika beliau inginkan perhatian Adi, maka beliau perlu menyertai pertandingan silat.

Yasmine terpaksa mendaftar di sekolah baharu dan menjadi ahli biasa sebuah kelab silat. Masalah Yasmine ialah kesukaran mendapatkan jurulatih dan juga menyembunyikan rahsia mengenai kegiatan silat beliau daripada bapanya yang tidak bersetuju beliau menyertai aktiviti lasak ini.

Bapa beliau tahu mengenai kegiatan anaknya dan mengambil keputusan untuk menghentikan kegiatan anaknya. Fahri memaksa Yasmine belajar mengaji dengan Bu Nurma setiap hari. Yasmine berhasil merayu guru mengajinya dan mendapatkan ilmu baru dari pendekar Jamal yang telah lumpuh kakinya. Lantas demi menghadapi Dewi, Yasmine pun mengambil risiko berlatih jurus maut dengan Datuk Hitam yang disegani dalam kalangan pendekar.

Namun di sebalik jurus maut itu tersembunyi rahsia yang disimpan oleh Fahri. Apakah rahsia tersebut? Mengapakah dia menentang keras hasrat Yasmine untuk menyertai pertandingan silat? Ikuti kesudahannya dalam filem arahan Siti Kamaluddin ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

 

 

Cetak Emel

offcanvas