Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Artikel

SIARAN MEDIA - Jalan Sehala

Dikemaskini pada .

 

 

Peluang Kedua Bekas Banduan Dalam Telemovie “Jalan Sehala” di TV1

KUALA LUMPUR, 15 November 2017 – Setiap orang yang hidup di dunia ini tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesalahan. Justeru semua orang berhak diberikan peluang kedua bagi menebus kesilapan yang dilakukan. Kesalahan yang pernah dilakukan tidak seharusnya dijadikan beban yang perlu ditanggung sepanjang hayat.

Membawakan kisah keinsafan seorang banduan untuk kembali ke pangkal jalan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi slot Panggung Seri pada 25 November ini, pukul 10.00 malam di TV1 menyiarkan telemovie bertajuk “Jalan Sehala”.

Dibawakan watak utamanya oleh pelakon Azhan Rani yang menghidupkan banduan bernama Ajis, telemovie arahan Yusni Yusof ini turut menampilkan lakonan mantap Sherie Merlis, Reen Rahim, Wan Najdi Wan Mohd Noh dan Mazlan Mat Razi.

Ia memaparkan kisah bekas banduan bernama Ajis yang ingin kembali serta memohon maaf dari isteri dan anak anaknya setelah 20 tahun terpenjara. Selama dipenjara, Ajis dihantui rasa bersalah dan berhasrat menebus kesalahan yang pernah dilakukan.

Namun perjuangannya untuk kembali ke pangkal jalan tidak mudah. Dia bukan saja berdepan dengan pelbagai cabaran malah terpaksa menghadapi tekanan daripada dosa-dosa silam yang dilakukannya.

Dalam perjalanannya untuk pulang ke kampung, dia menumpang kereta seorang gadis yang lari dari rumah dikenali sebagai Elly. Mereka sama-sama tiada tujuan. Namun dalam perjalanan itu dia berdepan saat-saat mencemaskan. Di situ mereka mula mengenali diri masing-masing dan arah tujuan hidup.

Ajis tiba di kampung halamannya. Elly meneruskan perjalanan tanpa penghujung. Ajis diberitahu, isterinya Halimah telah meninggal dunia. Dua anaknya telah diserahkan kepada orang dan Haryati, anak gadis yang dinodai Ajis telah meninggal kerana tumpah darah.

Kepulangan Ajis telah menimbulkan konflik kerana pembahagian harta pusaka. Ajis terpaksa menyelami rahsia tersebut. Sesuatu yang harus diterima diterimanya sebagai takdir Allah dengan dosa-dosa yang dilakukan selama ini. Ajis redha dengan ketentuan Allah.

Dia bertemu dengan dua anaknya selepas tidak jemu berusaha mencari serta berdoa. Begitu pun masihkah ada ruang kemaafan untuknya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

 

 

- ### -

 

Cetak Emel

offcanvas