Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Artikel

SIARAN MEDIA - Jurnal Zakat Perak

Dikemaskini pada .

 

RTM Siar Program “Jurnal Zakat Perak” Di TV1

 

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2017 – Hak Mereka Ada Dalam Bahagian Kita, Berzakatlah.. Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi bagaimana urus tadbir zakat dikelolakan oleh pihak MAIPk, serta kepelbagaian program agihan zakat (melalui ASNAF diiktiraf) yang dilaksanakan menerusi program terbaharu bertajuk “Jurnal Zakat Perak”.

13 episod yang bersiaran mulai 17 Disember ini, setiap Ahad, pukul 6.30 petang menerusi saluran TV1 ini bertemakan majalah berkaitan dengan bentuk bantuan dan sokongan yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kepada penerima terpilih.

Pendedahan dilakukan secara langsung berkaitan pendekatan tentang bagaimana urus tadbir zakat dikelolakan oleh pihak majlis agama. Bantuan serta sokongan yang diberikan telah diperincikan melalui sesi wawancara dengan individu berkaitan sama ada pihak penerima mahupun pemberi bantuan yang berjaya mencapai objektif.

Menampilkan hos Nizal Muhammad antaranya menyingkap bantuan pelajaran ke luar negara oleh MAIPk. Bantuan zakat yang dimaksudkan ialah tawaran Dermasiswa untuk pelajar-pelajar berkelayakan dari Perak khusus dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Beberapa orang pelajar telah ditemu ramah untuk berkongsi kisah mereka berkaitan dengan bantuan Dermasiswa yang diperolehi. Wawancara bersama Duta Besar Malaysia di Mesir dan Pegawai Atase Pendidikan Perak dipaparkan di mana mereka berkongsi maklumat tentang peranan MAIPk dalam menjaga kebajikan pelajar serta program-program yang dijalankan.

Aktiviti usrah dan ziarah menunjukkan semangat kekeluargaan yang wujud di kalangan mereka dan pihak MAIPk juga mempunyai bangunan Wisma Perak Darul Ridzuan untuk kegunaan pelajar dari negeri Perak. Rancangan juga memaparkan kisah kejayaan seorang pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar merupakan bekas pelajar tajaan zakat MAIPk.

Seterusnya Nizal Muhammad menemu bual En. Zainal Mohd Tahir, warga emas yang menjaga adiknya Puan Noorlia yang terlantar akibat pendarahan otak. Beliau dibekalkan dengan motosikal roda 3 untuk membolehkannya mencari barang terpakai untuk dikitar semula atau dijual di kaki lima. Turut ditemu ramah En. Mohd Nazrul Hisham, Penolong Pengurus Asnaf, MAIPk yang berkongsi peranan majlis agama berkaitan dengan kes En. Zainal. Ia turut memaparkan kes En. Che Yon Shaari yang juga mendapat bantuan motosikal roda 3 bagi menjalankan perniagaan membekal gas memasak.

Satu lagi jenis bantuan yang disumbangkan oleh pihak MAIPk iaitu bantuan rawatan Hemodialisis. MAIPK bekerjasama dengan Pusat Hemodialisis Ar-Ridzuan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan tersebut. Antara pesakit yang ditemu ramah beliau ialah En. Rafique yang sudah menerima bantuan rawatan Hemodialisis selama 4 tahun juga Puan Mariah Khalid yang mencari nafkah dengan menjual bantal kekabu. Kisah En. Jaafar dipaparkan yang menderita sakit buah pinggang tetapi masih meneruskan perniagaan warung roti canai demi untuk menyara keluarganya.

Ada juga Bantuan Geran Tahunan merupakan sejenis bantuan yang disalurkan oleh MAIPk untuk Sekolah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah, Kg. Kenan, Sungai Siput, Perak. Pembinaan sekolah ini diputuskan setelah pihak majlis menghadapi kesukaran untuk menempat pelajar-pelajar orang asli di sekolah-sekolah sedia ada akibat sikap suka memencilkan diri. Ia meliputi pembinaan kelas lengkap dengan asrama, surau serta dewan makan untuk kemudahan pelajar. Paparan aktiviti pelajar disiarkan seperti pembelajaran akademik dan kegiatan ko-kurikulum pasukan pengakap.

Pihak MAIPk menjalankan kerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dalam memberi bantuan pendidikan latihan dan kemahiran kepada pelajar-pelajar asnaf yang dikenal pasti. Mereka yang terpilih akan mengikuti kursus kemahiran tertentu mengikut tempoh yang ditetapkan dan kemudiannya diserap untuk menjalani latihan praktikal di syarikat yang dipilih oleh ABM dan MAIPk sendiri. Antara kursus kemahiran yang ditawarkan ialah kursus kemahiran perancah (Scaffolding), pengendalian jentera berat, kimpalan dan pelukis pelan. Kesemua jenis kursus yang ditawarkan adalah menepati piawaian kebangsaan yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi menghasilkan pelatih yang berkualiti dan mudah memasuki alam pekerjaan selepas tamat latihan.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh pihak MAIPk dalam mencapai objektif membantu golongan asnaf ialah dengan menganjurkan kem motivasi bagi para pelajar yang terpilih. Kerjasama dilakukan dengan syarikat motivasi tempatan dan program tersebut dijalankan di Kem Motivasi Mawaddah, Batu Kurau, Perak. Program yang dikenali sebagai Kem Motivasi Pemantapan Sahsiah Asnaf diadakan selama 3 hari 2 malam bagi menerapkan nilai-nilai serta ciri-ciri yang diperlukan oleh individu untuk memajukan diri serta keluarga.

Episod akhir merupakan rangkuman dari episod terdahulu berkenaan peranan dan bantuan yang disalurkan oleh MAIPk dalam bentuk zakat kepada golongan asnaf yang berkelayakan. Wawancara dilakukan dengan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani yang berkongsi maklumat seperti tujuan, fungsi serta faedah zakat kepada masyarakat. Paparan semula pelbagai jenis bantuan dalam episod terdahulu dapat menyingkap dengan lebih jelas berkaitan dengan bentuk bantuan yang disalurkan MAIPk seperti Bantuan Modal Peralatan, Biasiswa, Dermasiswa Luar Negara, Latihan Kemahiran dan lain-lain.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

- ### -

 

Cetak Emel

offcanvas