Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Artikel

SIARAN MEDIA - Ustaz Biker

Dikemaskini pada .

 

“Santai Tapi Sampai”, Jelajah Dari Masjid Ke Masjid Bersama “Ustaz Biker” di TV1

KUALA LUMPUR, 21 Disember 2017 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi dengan penonton setia salurannya program travelog terbaharu berkonsepkan pengembaraan motosikal berkuasa tinggi oleh seorang Ustaz ‘Rider’ menjejaki sejarah masjid-masjid yang terpilih di Malaysia.

Menerusi program bertajuk “Ustaz Biker” yang sedang bersiaran setiap Khamis, pukul 10.00 malam di TV1, Ustaz Halim Hafidz selaku hos program akan mengembara ke masjid-masjid terpilih di seluruh Malaysia dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan bertemu dengan individu tertentu untuk ditemu ramah. Konsep yang diamalkan adalah secara ‘santai tapi sampai’ dan antara aspek yang dipaparkan ialah berkaitan sejarah serta aktiviti masjid tersebut.

13 episod program ini antaranya membawa penonton ke Batu Pahat, Johor. Pengembaraan Ustaz Halim Hafidz dari Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal berkuasa besar sambil beribadah dan berdakwah secara santai. Destinasi beliau ialah Masjid Sultan Ibrahim dan antara lokasi yang sempat dilawatinya ialah Pantai Minyak Beku, Perigi Batu Pahat, Nasi Beriani Gam serta Dataran Penggaram. Masjid Sultan Ismail yang dibina pada tahun 1995 dapat menampung sebanyak 5000 orang jemaah.

Ustaz Halim merasai pengalaman sambutan Majlis Haul Habib Ali Bin Jaafar Al-Idrus yang diadakan pada hari tersebut. Aktiviti diteruskan dengan riadah dan sesi soal jawab bersama ‘geng anak muda’ di Dataran Penggaram. Episod ini diakhiri dengan trivia berkenaan solat sunat musafir.

Destinasi seterusnya pengembaraan Ustaz Halim ialah ke Masjid Sultan Alaudin Riayat Syah yang terletak di Pagoh, Johor. Ustaz Halim sempat singgah di beberapa lokasi menarik seperti Kolam Air Panas Gersik, Ladang Herba Nasuha dan Kg. Sarang Buaya. Setibanya di masjid tersebut, Ustaz Halim bertemu dengan imam, bilal serta ketua kampung. Beliau menyertai aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk yang kebetulan diadakan pada hari tersebut.

Antara aktiviti lain yang dilakukan persatuan belia kampung ialah Kursus Pengurusan Jenazah. Beliau kemudiannya melawat Makam Sultan Alaudin Riayat Syah yang terdapat di masjid tersebut. Ustaz Halim mengakhiri episod dengan sedikit perkongsian ilmu tentang solat jamak.

Ustaz Halim meneruskan pengembaraan santai beliau menuju ke Masjid Al-Husna, Bandar Tenggara, Johor. Dalam perjalanan tersebut, beliau sempat singgah di beberapa lokasi menarik seperti gerai tembikar Air Hitam, Muzium Kota Lama dan Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. Setibanya di masjid, beliau disambut oleh beberapa orang jemaah masjid termasuk imam muda masjid iaitu Imam Saufi yang berusia 26 tahun. Beliau berkongsi pelbagai maklumat tentang masjid yang dibina oleh KEJORA pada tahun 1965.

Di sini Ustaz Halim berpeluang menghadiri majlis bacaan Yassin yang diadakan pada setiap malam Jumaat serta jamuan nasi ambeng selepas selesai majlis Yassin. Ustaz Halim mengakhiri rancangan dengan pesanan agar mencontohi sifat air yang mengalir iaitu positif dan tegar dalam kehidupan.

Ikuti banyak lagi kupasan menarik program ini di TV1.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

 

- ### -

 

Cetak Emel

offcanvas