Newspaper Cutting

Utusan: Kecoh Dapur Rewang cara orang kampung

Last modified on .

 

SABAN tahun ada sahaja program menarik yang disediakan oleh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memancing kesetiaan penonton agar terus bersama- sama menikmati program hiburan bermesej yang ditayangkan.

Seperti kebiasaan, sempena Ramadan ini, RTM turut membawakan program istimewa buat penonton antaranya menerusi program masakan berjudul Kecoh Dapur.

Berunsurkan komedi selamba, Kecoh Dapur adalah sebuah program masakan yang mengetengahkan konsep rewang dengan penduduk kampung dengan beberapa lokasi yang telah diterjah oleh kru pasukan produksi bagi merancakkan lagi program tersebut.

Merupakan sesuatu yang berbeza diilhamkan oleh RTM, pengarahnya, Yusmi Harif berkata, walaupun itu adalah program masakan, suntikan kreativiti harus diberikan bagi memberi suasana baharu yang lebih menarik sekali gus membuatkan penonton teruja untuk menyaksikan episod demi episod di kaca televisyen.

“Berbanding program lain yang sedia ada, Kecoh Dapur memang lain daripada yang lain dan kami gunakan elemen kemasyarakatan apabila kami bergerak dari satu kampung ke kampung lain untuk beramah mesra dengan penduduk.

“Kita ketengahkan konsep rewang kerana sekarang ini tidak ramai dalam kalangan generasi muda yang tahu makna rewang atau merasainya sendiri kerana kini tidak lagi banyak diadakan.

KEKELUARGAAN

“Biasa kita lihat rewang ketika kenduri-kendara dan dalam usaha mengetengahkan semula elemen itu kepada masyarakat, kami tekankan konsep tersebut dalam program masakan kali ini,” katanya.

Tidak seperti lazimnya sebuah program masakan yang dibuat di studio, Kecoh Dapur dilihat sebagai sebuah program yang dapat menyatu dan mendekatkan RTM dengan penduduk kampung dalam suasana yang lebih bersifat kekeluargaan.

“Selain berkongsi resepi kampung, kita juga mahu mendekatkan RTM dengan penduduk kerana itu adalah salah satu objektif kami dan dilihat sesuai dengan Ramadan yang menggalakkan kita untuk menjalin ikatan silaturahim sesama umat dan berbuat baik sebagai amalan,” katanya.

Selain itu, kata Yusmi, Kecoh Dapur juga punya daya tarikan yang kuat kerana pengacaranya, Amyza Aznan dan Ieda Moin sememangnya 'juara' dalam menghangatkan lagi suasana yang benar-benar kecoh.

“Kelebihan Ieda dan Amyza, mereka memang bijak berinteraksi dengan penduduk kampung dengan keletah bersahaja dan komedi selamba dan spontan,”katanya.

Antara lokasi yang terlibat untuk program masakan ini ialah Kampung Pasir Bayam Dong, Raub, Pahang; Kampung Relung, Lipis, Pahang; dan Felda Sungai Tengi Selatan, Selangor.

Merupakan program pengenalan kepada saluran TV2, Kecoh Dapur yang bersiaran selama 13 episod menemui penonton setiap hari Isnin hingga Sabtu pada pukul 4 petang.

Program ini juga boleh ditonton di portal atas talian Myklik (myklik.rtm.gov.my) selain boleh dimuat turun menerusi aplikasi rtmmobile di Google Play dan App Store.

- Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my

Print