Siaran Media

SIARAN MEDIA - Program Ramadan Satu Perjuangan RTM

Last modified on .

 Program Ramadan Satu Perjuangan RTM

 

Ramadan 2020 pastinya berbeza. Perjuangan bagi melipatgandakan ibadah berbanding bulan-bulan lain bertambah dengan pandemik COVID-19 yang mana pastinya sedikit sebanyak mengubah rutin kehidupan kita. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baru sahaja meraikan ulang tahun ke-74 pada 1 April lalu berkongsi pengisian terbaik sepanjang bulan mulia ini dengan menyalurkan program yang sarat dengan mesej positif kebersamaan dalam menghadapi dan meyakini saat genting sebegini pasti akan berlalu.

Sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak ini, RTM meneruskan kempen mempromosikan program terbaik menerusi setiap platform saluran TV1, TV2, TV Okey dan radio terbitannya merangkumi pelbagai program berbentuk keagamaan, telemovie, drama bersiri, dokumentari, majalah dan masakan tontonan seisi keluarga.

TV1

TV1 saluran utama maklumat COVID-19 terus membawakan informasi terkini perkembangan terbaharu setiap hari kepada orang ramai.

Begitu pun sepanjang Ramadan ini pengikut saluran TV1 masih dapat menonton drama bersiri 30 episod terbaharu bertajuk “Korban Kasih” lakonan Saharul Ridzwan, Azrel Ismail, Zara Zya, Dynas Mokhtar, Ummi Nazeera dan ramai lagi. Sebuah kisah kekeluargaan yang dirakamkan melalui pandangan Fatimah yang melihat perselisihan dan pilih kasih dalam keluarganya. Dia tidak mengerti mengapa ibunya membenci Abang Jalil sehingga abangnya itu tersingkir setelah kematian ayahnya. Dia juga melihat kejayaan kak long dan abang ngahnya yang belajar di sekolah berasrama penuh. Semua pergolakan ini dilihat secara positif oleh penulis sehingga menemukan semula secara harmoni semua ahli keluarga ini yang kini sudah pun dewasa. Ia disiarkan mulai 24 April, setiap hari, 7.00 malam.

Pilihan telemovie khas terbaik disiarkan mengisi slot Panggung RTM, setiap Sabtu, 10.00 malam bermula ‘Kembara Cinta’ (25 April), ‘Waiduri di Sebalik Pintu’ (2 Mei), ‘Nurul Najwa’ (9 Mei), dan ‘Cikgu Amy’ (16 Mei). Empat lagi telemovie dalam Panggung 1, setiap Ahad, 10.00 malam bertajuk “Ttatea Bulan” (26 April), “Kerana Mencintaimu” (3 Mei), “Sahabat Ke Syurga” (10 Mei) dan “Anak-Anak Tamar” (17 Mei).

Diikuti program animasi kanak-kanak “Kembara Farha”, “Dekorasi Berinspirasi”, “Mukjizat & Sains”, “Tamadun yang Hilang” juga majalah inspirasi kejayaan anak Melayu di luar negara bertajuk “Disapora Melayu”.

TV2

 

Sepanjang Ramadan ini, pelbagai menu masakan dibawakan kepada penonton dari seluruh benua Eropah menerusi program “Sudip Pusing Dunia” mulai 24 April ini, setiap hari, 5.00 petang.

 

Menyusul 30 episod drama adaptasi novel ‘Di Hujung Ranting’ mulai 24 April ini, setiap hari, 5.30 petang lakonan Nad Zainal, Shukri Yahya, Dayang Areeda, Amar Asyraf, Ummar Dzariff, Afzan A Rahman dan Silfeny Osman. Ceritanya berkisar Hakim yang telah bercerai dengan Fatin. Semasa dalam edah, ibu Hakim telah memperkenalkan Hakim kepada Mawardah lalu mereka berkahwin. Malangnya pada malam perkahwinan tersebut Hakim telah rujuk kembali dengan Fatin dan Mawardah telah menjadi isteri kedua dan diabaikan.

Pengajaran kepada yang suka membazir dalam telemovie “Kambing Golek Ramadan” pada 23 Mei, 9.30 malam diikuti “Bila Mawar Kembali Berbunga” (1 Mei, 3.00 petang), “Bila Larut Malam” (1 Mei, 9.30 malam), “Halilintar” (15 Mei, 9.30 malam), “Kemelut Impian” (2 Mei, 9.30 malam), “Pelangi Petang” (9 Mei, 9.30 malam), dan “Jalan Lain Ke Sekolah” (16 Mei, 10.30 malam).

 

Turut disiarkan drama bersiri “Fajar di Bukhara”, “Tolong Aku Doktor Cinta” dan “Kampung Semarah Padi”. Diikuti majalah masakan “Resipi VIP Glamour” dan “Konsert Minggu Ini”.

 

TV OKEY

 

Sementara itu, saluran TV Okey juga memperkenalkan lapan program terbaharu termasuklah 20 episod “Eksplorasa Thai Jogja” mulai 4 Mei, setiap hari, 2.30 petang bersama-sama Syafie Naswip dan Fizo Omar menjelajah ke Thailand dan Jogja berkongsi pelbagai resipi menarik dan unik masyarakat tempatan. Juga program “Biscotti musim ke-4” mulai 26 April, Jumaat hingga Ahad, 10.30 pagi yang disertakan dengan pelbagai resipi dan informasi menarik mengenai kaedah serta tip penyediaan makanan.

Gandingan pelakon Riena Diana dan Dini Schatzmann membintangi 30 episod drama bersiri “Leon Zalika” mulai 24 April, setiap hari, 10.00 malam mengisahkan Zalika yang berkahwin dengan pilihan keluarganya bernama Leon tiga hari sebelum Ramadan. Zalika anak seorang jutawan yang hidup huru-hara tanpa panduan ilmu agama manakala Leon seorang baik walaupun tinggal di London.

Membariskan pelakon terkenal tanah air dengan plot cerita yang menyuntik keinsafan, saksikan lima telemovie ditayangkan setiap Sabtu, 8.00 malam iaitu “7 Langkah” (25 April) gandingan pelakon Faizal Hussein dan Mimi Ernida, “Wasiat Untuk Harlina” (2 Mei) pelakon utama Puteri Sarah Liyana dan Raja Afiq, “Reda Ku” (9 Mei) dibintangi Zahiril Adzim dan Reen Rahim, juga “10 Malam Terakhir” (16 Mei) lakonan Syafie Naswip dan Aedy Ashraf. Gandingan Ris Ismail dan Ruhainies muncul dalam “Ustaz Rock” disiarkan pada 26 April, 3.00 petang.

RADIO RTM

Menerusi platform radio pula, RTM menerusi NASIONALfm menerbitkan kandungan program menyentuh isu semasa iaitu berpuasa di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu “Raudhah Edisi Khas Ramadan : Bersediakah Kita?”, setiap hari, 6.30 petang, sketsa Ramadan “Kita Jaga Kita”, Isnin hingga Jumaat, 10.15 pagi, 3.30 petang dan 1.30 pagi, juga “Refleksi Bersama Datuk Prof Muhaya Mohamad”, Isnin hingga Jumaat, 2.30 petang.

 

Sementara radio berbahasa Inggeris RTM, TRAXXfm mengambil pendekatan dengan menyiarkan ceramah berkaitan Ramadan oleh Dr. Shaikh Mohd Saifudden bin Shaikh Mohd Salleh dengan tajuk “Reflection Ramadan” (5 minit), mulai 24 April, 7.45 malam.

Begitu juga saluran AiFM menghayati amalan dan makna bulan Ramadan dengan program bicarawara menggalakkan pendengar berpuasa dalam “Ai Ceria”, interaksi berkaitan amalan ibadah puasa vs wabak COVID-19 dalam “Ai Aksi” dan sketsa “Kasih Sayang di 893”.

Saluran radio ASYIKfm yang majoriti pendengarnya terdiri daripada kaum orang Asli tampil dengan program “Tazkirah Suci Henum @ Suci Hati” disiarkan setiap hari sebelum berbuka puasa yang diterbitkan oleh JAKIM.

Radio Klasik pula memperkenalkan program ceramah pendek yang diselangi dengan lagu ketuhanan dalam “Safeenatur Ramadan”, soal jawab agama dalam “Nur D’Klasik” dan “Resepi Warisan” yang menjemput chef selebriti terkenal berkongsi resepi untuk sahur dan berbuka puasa. Turut menghiburkan lagu-lagu dakwah dan ketuhanan disiarkan 1 Ramadan.

 

KLfm menyantuni pendengarnya dengan dua program bicarawara “Jom Tanya Doktor” sepanjang Ramadan, setiap Rabu, 9.00 pagi, dan “Khusnul Ramadan”, Isnin dan Rabu, 5.30 petang, interaksi DJ bersama-sama personaliti agama mengenai amalan sunah di bulan Ramadan dalam konteks kekeluargaan.  

Selain daripada itu, radio-radio negeri juga turut menyediakan program-program khas masing-masing sepanjang Ramadan ini.

- ### -

Print