SIARAN MEDIA - 11 - 13 Februari Ini, RTM Raikan Tahun Baharu Cina

 

11 - 13 Februari Ini, RTM Raikan Tahun Baharu Cina

 

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2021 – Lima belas program pelbagai genre menemani sambutan Tahun Baharu Cina anda yang dijanjikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tiga saluran TV utama iaitu TV1, TV2 dan TV Okey.

Disiarkan tiga hari berturut-turut mulai 11 hingga 13 Februari ini, program terbaik dan menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga ini pastinya antara aktiviti pilihan dalam meraikan perbezaan cara sambutan perayaan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung hingga 18 Februari depan.

Saluran utama TV1 tampil mengisi slot Panggung RTM dengan tayangan telemovie bertajuk Sulaman Kasih” pada 13 Februari, pukul 9.00 malam berlatar tentang watak Nyonya Goh seorang pakar Sulaman kebaya Nyonya yang tersohor dan sedang mencari pewaris untuk menurunkan ilmu sulamannya. Ia menampilkan pelakon Mandy Chong, Eleena Sui, Rayme Ramlee, dan Melaine Tan.

Saluran TV Okey pula menyiarkan tiga program iaitu drama pendek terbitan Unit Drama TV RTM bertajuk “Siang Malam” pada 12 Februari ini, pukul 2.15 petang dan 13 Februari ini, pukul 8.30 pagi dan 3.30 petang. Kisah Ah Meng yang baru sebulan bekerja sebagai juruteknik bekerja siang dan malam mencari duit membeli semula kereta lama milik ayahnya. Kereta tersebut telah dijual oleh ayahnya untuk menampung yuran kolejnya. Dia cuba untuk membeli semula kereta itu dengan menggunakan gaji pertamanya. Adakah hasratnya terlaksana? Pelakon : Li Yang, Mandy Chong dan Collan.

Lakonan Alvin Chong, Joyce Han, Angeline tan dan Harris Anuar dalam telemovie “Selamat Tinggal Tahun Baharu Cina” menemui penonton pada 12 Februari, pukul 9.00 malam. Seorang pemuda tidak suka menyambut Tahun Baharu Cina dan dia juga tidak pulang ke kampung untuk meraikan sambutan tersebut. Bagaimanapun, terjadi beberapa peristiwa yang menyebabkan beliau mahu tradisi sambutan itu diadakan semula. Leong mempunyai teman wanita yang cantik bernama Aiyi, seorang yang garang dan sering mengongkong Leong. Saksikan bagaimana Leong menyambut Tahun Baharu Cina setelah sekian lama tidak meraikannya.

Ia diikuti telemovie dibintangi oleh Jasmine Suraya Chin, Victoria Lynn, Cindy Xyz, Joshua Tsi dan Angelina Tan dalam “Gong Xi Mei Mei” pada 13 Februari, pukul 9.00 malam. Kisahnya tentang Mei Mei merupakan pembantu peribadi kepada Danny yang terkenal dengan sikap bertukar teman wanita. Ketika itu hanya Danny yang dilihat mampu untuk mengubah sikap Danny itu. Saksikan bagaimana Mei Mei mampu untuk berjaya mengubah sikap Danny?

Luangkan masa menyaksikan saluran TV2 yang tampil dengan 11 pilihan program kesemuanya merangkumi filem, telemovie dan konsert menghiburkan. Pada 11 Februari, pukul 9.30 malam, disiarkan cereka Cina bertajuk “Amazing Spring” yang berlatarkan kisah misi 40 hari perlu ditempuhi Max demi mempertahankan perniagaannya.

Menyusul 12 Februari dengan program muzikal khas “Journey To Love”, pukul 8.00 pagi, dan tayangan dua telemovie iaitu “Unforgetable Gong Xi”, 10.00 pagi, juga “Final Wish”, 2.00 petang.

Hiburan diteruskan dengan “The Red Lantern Concert” , 4.00 petang, “Gong Xi Golden Ox”, 9.30 malam, filem “Project Gutenberg”, 10.30 malam yang menyaksikan lakonan mantap Chow Yun-Fat, Aaron Kwok, Zhang Jingchu, Joyce Feng arahan Felix Chong.

Esoknya, 13 Februari, tambahan program muzikal “Chinese New Year Golden Happiness”, 8.00 pagi, telemovie “Open House”, 10.00 pagi, dan menariknya telemovie “Step Up”, 3.30 petang menonjolkan latar Malaysia tahun 90an. Akhir sekali disiarkan filem Indonesia iaitu “Meet Me After Sunset”, 10.30 malam.  

 

TAMAT

 

 


Print   Email