SIARAN MEDIA - PROGRAM MENARIK SEMINGGU MULAI 18 JULAI INI DI TV2

 

PROGRAM MENARIK SEMINGGU MULAI 18 JULAI INI DI TV2

 

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2022 – Sepanjang minggu mulai 18 hingga 24 Julai depan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 menghadirkan tayangan program-program menarik khas tontonan seisi keluarga termasuklah drama bersiri Korea, telemovie dan filem luar negara.

Khas buat penggemar drama bersiri Korea, RTM mengisi slot Saranghaeyo dengan tayangan drama bertajuk “Welcome to Waikiki” mulai 21 Julai ini, setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 8.00 malam. Pastinya berita gembira buat peminat setia pelakon yang membintangi siri ini termasuklah Lee Yi-kyung, Kim Jung-hyun, Kim Seon-ho, Jung In-sun dan Son Seung-won. “Welcome to Waikiki” mengisahkan tiga jejaka muda yang bergabung tenaga mengusahakan rumah tumpangan bagi merealisasikan impian mereka mengumpul dana untuk menghasilkan filem mereka sendiri. Walau bagaimanapun, usaha niaga itu tidak menguntungkan.

Sementara itu dua telemovie bertemakan kekeluargaan turut menemui penonton iaitu “Rekah Di Jari Kak Long” (19 Julai ini, 9.00 malam) dan diikuti “18 To 81” (21 Julai ini, 3.00 petang). Menggandingkan lakonan mantap Beto Khusairy, Nazeera Sardi dan Ayu Ayuni, ikuti telemovie “Rekah Di Jari Kak Long” berkongsi watak jalan hidup Kak Long yang menggalas tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga setelah ayahnya jatuh sakit. Dia menoreh getah bagi menanggung ayah dan adik-adiknya. Kak Long kecewa kerana Syafik menghilangkan diri semasa hari pernikahan mereka sehingga menyebabkan ayahnya meninggal dunia. Lukman yang menaruh hati pada Kak Long telah membuat fitnah sehinggakan Syafik percaya bahawa Kak Long bukan perempuan yang baik.

Jalan cerita “18 To 81” pula berkisarkan tentang watak Jasper ‘hero’ kolej yang berusia 18 tahun disumpah menjadi remaja yang mempunyai jiwa seperti lelaki tua berumur 80 tahun. Jasper berusaha mengembalikan keadaan asal dirinya dengan bantuan kawan-kawannya. Setelah berusaha, barulah mereka tahu rupa-rupanya semua yang berlaku adalah angkara Jasper ‘tua’ yang datang dari masa hadapan untuk menyedarkan Jasper ‘muda’ agar lebih menghargai apa yang dia ada sekarang. Lakonan berkesan Eric Lay, Jovane Pang, Daniel Fong dan David Chong.

Manakala buat peminat filem pula TV2 menyiarkan lima tajuk filem iaitu “Sonu Ke Titu Ki Sweety” (18 Julai ini, 9.00 malam), “IP Man 3” (21 Julai ini, 9.00 malam), “Backtrace” (22 Julai ini, 9.00 malam), “Kampung Drift” (23 Julai ini, 10.30 malam) dan “Nerkonda” (24 Julai ini, 9.00 malam).

Filem “Sonu Ke Titu Ki Sweety” menyorot kisah persahabatan Sonu dan Titu diuji selepas Titu membuat keputusan untuk mengahwini Sweety, seorang gadis yang sebenarnya hanya inginkan hartanya. Bukan itu sahaja, malah Sweety juga mempunyai niat untuk memutuskan persahabatan 2 jejaka tersebut. Namun adakah niat jahatnya itu berjaya? Filem ini lakonan mantap Kartik Aaryan, Sunny Singh, Nushrratt Bharuccha, Ishita Raj Sharma, Alok Nath, dan Virendra Saxena.

Keunggulan aksi diteruskan dalam “IP Man 3” yang membawa kisah IP Man perlu membantu pihak polis menjaga sekolah anaknya daripada pemaju hartanah yang korup. Dalam masa yang sama, dia juga perlu menjaga isterinya yang tenat dan juga perlu mempertahankan gelarannya. Saksikan aksi mantap Donnie Yen, Lynn Xiong, Jin Zhang dan Mike Tyson dalam filem ini.

Nantikan juga tayangan “Backtrace” mengisahkan seorang perompak mengalami amnesia selepas tercedera ketika merompak sebuah bank dan dimasukkan ke dalam penjara. Tujuh tahun kemudian, dia disuntik dengan sejenis dadah untuk memaksanya mengingati semula dimana dia menyembunyikan wang yang yang telah dirompak sebelum ini. Lakonan Ryan Guzman, Sylvester Stallone, Meadow Williams dan Christopher McDonald.

Gandingan pelakon utama Fatin Afeefa, Pablo Amirul, Pekin Ibrahim dan Syafie Naswip muncul dalam “Kampung Drift” yang mengajak penonton mengikuti cerita Johan yang amat meminati sukan drift, namun ditentang keras oleh bapanya untuk menyertai sukan tersebut. Walau apa pun dugaan yang terpaksa ditempuh, minat Johan terhadap drift tidak pernah pudar.

Akhir sekali saksikan filem “Nerkonda Paarvai” dimana plot kisahnya menceritakan apabila tiga wanita muda dituduh melakukan jenayah yang tidak mereka lakukan, seorang peguam yang telah bersara melangkah ke hadapan untuk membantu mereka membersihkan nama.
Filem ini membariskan pelakon Ajith Kumar, Shraddha Srinath, Abhirami Venkatachalam, Andrea Tariang, Vidya Balan, Arjun Chidambaram dan Adhik Ravichandran.


TAMAT


Print   Email

Radio Televisyen Malaysia
Angkasapuri
50614 Kuala Lumpur

aduan [at] rtm.gov.my
Tel: 03 - 2282 5333
Faks: 03 - 2284 7591

apps
googleplay bm
huawei bm

  • Kemaskini Terakhir : 06 October 2022.

Jumlah Pengunjung : 34913257

Web Tools