SIARAN MEDIA - BUKAN KHADIJAH

 
SLOT PANGGUNG RTM SEMPENA MAAL HIJRAH 2022, DRAMA “BUKAN KHADIJAH” DI TV1
 
Kuala Lumpur, 25 Jul 2022 – Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), karena sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang.
 
      (Surah Yusuf: Ayat 53)
 
Khas menghayati sambutan Maal Hijrah yang diraikan seluruh umat Islam pada 30 Julai ini, Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (UDTV RTM) menerbitkan sebuah drama penghijrahan mengisi slot Panggung RTM bertajuk “Bukan Khadijah”. 
 
Drama arahan Ekien Zainal bergenre suspen romantik ini mengangkat kisah penghijrahan seorang gadis ‘kasar’ yang merupakan penderita “Retrograde Amnesia” dan berusaha mengutip cebisan memorinya hingga berjaya merungkai siapakah dirinya yang sebenar. Namun, segala kebenaran itu begitu pedih hingga dia tidak sanggup untuk mengingati memori silamnya yang dicemari titik gelap. Kebenaran demi kebenaran terbongkar membuatkan hidupnya diselubungi sengsara. 
 
Menemui penonton pada 30 Julai ini, pukul 9.00 malam di TV1, drama ini menampilkan barisan pelakon utama Shakilla Khoriri, Azrel Ismail, Laila Nasir, dan Sahronizam Noor selain turut dibantu Esma Daniel, Yuyun Hikmah, dan Najua P. Ramlee. 
 
Menariknya pemilihan lokasi drama ini yang menjalani penggambaran di beberapa tempat menarik sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Terengganu pada bulan Jun lalu.
 
Penonton dibawa mengikuti jalan cerita kehidupan Khadijah mula terganggu kerana dirinya sentiasa diekori seorang lelaki. Kebenarannya terbongkar lelaki itu adalah suaminya sendiri iaitu Azlan. Khadijah mengalami amnesia kerana kemalangan ketika berbulan madu di pulau, kepala Khadijah terhantuk jatuh perahu dan dia disahkan mengidapi amnesia. 
 
Sewaktu Khadijah sedar dari koma tiga bulan lalu, Khadijah tidak mengenali Azlan. Azlan yang terlalu menyayangi Khadijah mengaku dia yang mengatur ‘kehidupan baru’ Khadijah dengan memastikan keadaan Khadijah semakin baik dan dia tidak mahu Khadijah terkejut dengan kehadiran suami yang tidak diingatinya. 
 
Khadijah banyak bertanyakan tentang dirinya yang lalu. Khadijah dahulunya seorang gadis berpewatakan kasar yang dibuang keluarga. Penyakitnya membuatkan Khadijah sukar mengingati masa silamnya. 
 
Khadijah pulang ke kampung ditemani Azlan. Berita kepulangan Khadijah disambut dengan pelbagai reaksi daripada adik angkatnya, Rina, ibu kandungnya, Salmah dan Baha, bapa tirinya. Sampai di rumah, Khadijah disambut dingin. 
 
Salmah menyatakan Khadijah tak layak pulang selepas terbongkar perbuatan kotornya dulu. Khadijah tidak mengerti ‘perbuatan kotor’ apa yang dimaksudkan Salmah. Sebelum pulang Khadijah cuba berjumpa dengan ibunya lagi. Tetapi Rina halang dan mendedahkan perbuatan kotornya dahulu. Khadijah malu dan berasa jijik dan tertekan. Khadijah faham siapa dia, dan mengapa dia dihalau dari pulau itu. 
 
Mujur ada Yati, sahabat baik Khadijah di sekolah dulu yang berjaya membongkar rahsia siapakah dalang yang menyebabkan Khadijah dibuang keluarga. Namun derita Khadijah tidak berakhir di situ kerana ada seseorang yang terdekat dengan Khadijah juga cuba membalas dendam terhadapnya. Siapakah dalang tersebut? 
 
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my . Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
 
TAMAT
 

 


Print   Email

Radio Televisyen Malaysia
Angkasapuri
50614 Kuala Lumpur

aduan [at] rtm.gov.my
Tel: 03 - 2282 5333
Faks: 03 - 2284 7591

apps
googleplay bm
huawei bm

  • Kemaskini Terakhir : 06 October 2022.

Jumlah Pengunjung : 34913159

Web Tools