Unit Drama TV RTM Ungguli ASK 2019

Detik 1 November 2019 mencatatkan satu lagi sejarah buat Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama TV (UDTV) apabila berjaya merangkul anugerah-anugerah utama yang dipertandingkan dalam Anugerah Skrin 2019 anjuran Media Prima Berhad yang diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur. Edisi kali ini menyaksikan UDTV mempertaruhkan kreasi-kreasi unik nukilan penerbit-penerbitnya melalui drama “TelingkahDi Sisi dan Detektif Kemon” karya Wan Afzam Wan Daud“Lalang” dan “Sesekali” arahan Hisyamudin Ahmad serta Muhamad Ikhsan Sukiman dengan drama “Sakit Otak Sis.

Secara jujur, adalah tidak keterlaluan sekiranya saya katakan keseluruhan karya yang dipertaruhkan UDTV pada malam penganugerahan itu berjaya mencuit jiwa juri yang mengadili sekaligus membawa kepada satu cabaran besar dalam usaha menghakimi hasil karya manakah yang selayaknya membolot pengiktirafan yang penuh prestij itu. Hasilnya, penyertaan dari pihak UDTV kali ini berjaya mendapat pencalonan lima teratas bagi beberapa kategori yang dipertandingkan. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilhahi, di sebalik gelora yang berombak di dada saya pada malam itu, UDTV tidak sekadar diiktiraf pada pencalonan lima teratas sebaliknya turut berjaya melalui drama “Di Sisi” merangkul anugerah “Drama Terbaik” dan “Pengarah Terbaik” (Wan Afzam Wan Daud), “Penyunting Drama Terbaik” (Izhar Masuri), “Lakon TV Terbaik” (Amin Masyhur) dan “Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik” (Ruzaidi Rahman). Tidak sekadar terhenti di situ, UDTV turut memenangi kategori “Videografi Terbaik” (Junaimeramfizal Rahmat) dengan drama “Telingkah”.

Magis kemenangan ini tentunya disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan keterujaan seluruh pihak yang terlibat khususnya dari pihak RTM dan secara khas, oleh warga UDTV sendiri. Berbekalkan kecekalan jiwa dan roh kreatif yang disandarkan pada jasad warga UDTV dan dengan semangat yang jitu dalam menghasilkan karya-karya bertunjangkan kualiti serta mampu menaungi institusi sosial bagi menghasilkan cereka-cereka yang mengangkat isu-isu yang dianggap terpinggir di mata masyarakat.

Sedikit sinopsis mengenai kisah “Di Sisi” menceritakan kecekalan Udin (15 tahun) yang tabah menjaga ayahnya, Pak Jali bekas pentinju yang kalah di gelanggang dan remuk hatinya selepas kematian isteri.  Bertambah perit apabila beliau lumpuh separuh badan. Sungguh pun sering dimarahi dan dikasari oleh ayahnya dan beberapa remaja kampung, Udin seolah-olah remaja yang punya dwi-personaliti apabila kurang berbicara ketika di rumah namun riang di luar dan disenangi penduduk disitu kerana kerajinan dan ketinggian budi bahasanya.

Drama terbitan Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia arahan Wan Afzam Wan Daud ini dibintangi pelakon Aidil Rafiq, Ruzaidi Rahman, Aman Graseka, Bohari Ibrahim,Rosnah Johari,Kamal Bakar,Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, Raihan Kamal Bakar, Fariz Isqandar, Darren dan Rosli Mad Zin. Ditayangkan sempena sambutan Maal Hijrah di saluran TV1 pada 10 September 2018.

Menelusuri semula pengalaman indah menjadi sebahagian daripada keluarga produksi drama “Di Sisi” sewaktu saya diamanahkan untuk menyelia naskhah ini sebagai Pengurus UDTV, saya melihat kesungguhan Wan Afzam Wan Daud selaku pengarah bersama pasukan penerbitannya Wan Yusof Wan Abdullah, Buvaneswary dan Mukris Mahazir bekerjasama erat bagi menghasilkan satu karya yang benar-benar ada nilai. Terus-terang saya baitkan, kali pertama saya menonton naskhah yang sangat istimewa ini, “Di Sisi” punya aliran rasa yang kuat meresap ke dalam hati dengan keseimbangan daripada permainan emosi sedih, gembira malah kecewa. Satu karya yang serba sederhana namun kuat impaknya. Di Sisi yang sarat dengan nilai-nilai murni ini dipertontonkan khusus sempena Maal Hijrah.

Berbekalkan kecekalan dan keazaman yang utuh, ikhlas dalam menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan bermutu serta mampu mendidik masyarakat, saya percaya karya-karya terbitan warga UDTV akan terus mendapat tempat bukan sahaja di arena tempatan, bahkan juga di persada antarabangsa suatu hari nanti. Jutaan tahniah saya ucapkan kepada Wan Afzam Wan DaudHisyamudin AhmadMuhamad Ikhsan Sukiman serta seluruh keluarga UDTV yang sentiasa bekerja keras dan bersemangat dalam menghasilkan karya yang terbaik di kaca TV, malah di portal internet milik RTM yang kian berkembang kini. Tuah ini tidak sahaja saya rasakan milik tunggal UDTV, malah turut disokong oleh kakitangan RTM khususnya daripada pasukan teknikal, reka bentuk dan keseluruhan yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan.

Akhir kata, saya percaya kemenangan pada edisi Anugerah Skrin kali ini memberikan lebih semangat bagi seluruh warga UDTV untuk terus menjadi yang terbaik. Saya yakin tuah kali ini akan terus memacu kami ke arah yang lebih bagus berbanding hari ini dan saya sentiasa akan memastikan UDTV akan tampil dengan karya-karya yang terus sarat menjiwai dan memanusiakan manusia.

 


Cetak   Emel

Radio Televisyen Malaysia
Angkasapuri Kota Media
50614 Kuala Lumpur

aduan [at] rtm.gov.my
Tel: 03 - 2282 5333
Faks: 03 - 2284 7591

apps
googleplay bm
huawei bm

  • Kemaskini Terakhir : 06 Disember 2023.

Jumlah Pengunjung : 46298341

Peralatan Web