Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Jom Muzium

Dikemaskini pada .

 

Jelajah Muzium Bersama Dazrin Kamaruddin Dalam “Jom Muzium” di TV1

KUALA LUMPUR, 26 April 2018 – Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan budaya dan sejarahnya tersendiri. Terdapat banyak muzium yang dibina untuk mempamerkan artifak-artifak berharga dan juga catatan-catatan sejarah. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan sebuah dokumentari baharu bertajuk “Jom Muzium” sedang bersiaran setiap Rabu, pukul 4.30 petang di TV1.

Dokumentari yang dihoskan oleh Dazrin Kamaruddin ini mengajak penonton menjelajah ke muzium-muzium yang terdapat di Malaysia sambil mengenali dengan lebih dalam lagi tentang sejarah, keunikan bangsa dan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Ikuti pengacara ke Muzium Arkeologi, Lembah Bujang yang terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah. Ia merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu dan Buddha di Asia Tenggara kurun ke 2 Masihi hingga ke 12 Masihi. Artifak Arkeologi membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang yang menguasai jalan perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat terutama pedagang-pedagang China dan India.

Episod seterusnya penonton dibawa ke Muzium Padi Gunung Keriang, Kedah Darul Aman yang dibuka dengan rasminya pada 12 Oktober 2004. bangunan muzium ini berbentuk Gemai Padi dan mempunyai sebuah bangunan induk serta enam buah bangunan sampingan di sekelilingnya. Tujuan utama muzium ini dibina ialah bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi. Dalam episod ini turut dipaparkan Muzium Pertanian Jasin, Melaka. Muzium ini diwujudkan pada tahun 1989 di Jasin sebab Jasin merupakan daerah pertama di Melaka yang mengeluarkan biji timah dan hasil pertanian serta menjadi perintis penanaman getah di Malaysia. Pameran diorama yang memaparkan penghasilan gula Melaka menjadi tarikan pengunjung ke muzium ini.

Penjelajahan diteruskan ke Muzium Adat Istiadat Melaka yang terletak di Dataran Keris, Alor Gajah. Tujuan utama muzium ini dibina ialah untuk mengenang adat istiadat pelbagai budaya terutamanya adat perkahwinan. Turut dikunjungi Muzium Adat Negeri Sembilan yang terletak di Jalan Dato Umbi,Kampung Jelebu Tengah, Kuala Klebang. Muzium ini adalah muzium pertama yang menghimpunkan maklumat pelbagai amalan adat masyarakat di Malaysia.

Singgah pula di Muzium Terowong Masa Cameron Highlands di Brinchang. Muzium ini menghimpunkan koleksi peribadi Encik See Kok Shan yang dibeli daripada individu untuk disimpan. Kebanyakan barang-barang yang dipamerkan bernilai vintaj, lama dan menyimpan maklumat sejarah oleh individu yang memiliki barangan asal tersebut. Oleh sebab kebanyakan barangan-barangan lama terdiri daripada barangan harian yang biasa diletakkan dalam rumah, pengunjung seolah-olah berada pada zaman sebelum merdeka.

Saksikan juga paparan mengenai Muzium Orang Asli Melaka dan Muzium Rakyat Melaka. Muzium Orang Asli Melaka menghimpunkan koleksi bahan dan peralatan harian suku kaum asli Senoi, Jah Hut dan Mah Meri manakala Muzium Rakyat Melaka mempamerkan maklumat tentang isu-isu istimewa menarik berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, politik, pendidikan, sosial, pelancongan, perindustrian serta hubungan kerajaan dengan rakyat.

Kemudian penonton dibawa ke Muzium Dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan mempelajari tentang kepentingan ekonomi, perbankan Islam dan perancangan kewangan Bank Negara Malaysia. Terdapat pengisian permainan interaktif berasaskan ‘Simpan’, ‘Belanja’ dan ‘Kongsi’, dalam Galeri Kanak-kanak yang merupakan medium pendidikan kewangan yang unik untuk kanak-kanak. ‘Terowong Sejuta Ringgit’ pula mempamerkan wang kertas dalam pelbagai siri dan denominasi. Galeri Seni di Bank Negara mempamerkan koleksi-koleksi seni dari Malaysia dan Asia Tenggara yang dikumpulkan sejak tahun 1962.

Terus setia berzama Dazrin menjelajah ke beberapa lagi muzium antaranya Muzium Kraf Perbadanan Kemajuan Malaysia, Muzium Tekstil Negara, Muzium 3D Langkawi, Muzium Puppet dan Opera Teochew Pulau Pinang, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Muzium Diraja Kuala Kangsar, Muzium Mainan Pulau Pinang, dan “Ghost Museum”.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.  

 

- ### -

 

 

 

Cetak Emel

offcanvas