Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Ex-Girlfriend Club

Dikemaskini pada .

 

 Song Ji-hyo Jadi Penerbit Filem Dalam “Ex-Girlfriend Club” Di TV2

 

KUALA LUMPUR, 26 April 2018 – Kini demam Korea semakin merebak di seluruh Malaysia. Populariti drama korea sudah dapat menandingi drama tempatan. Justeru itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan dalam menyajikan drama-drama korea untuk tontonan penonton setianya.

Slot Kristal menjanjikan sebuah lagi drama Korea bertajuk “Ex-Girlfriend Club” mula bersiaran pada 24 April lalu, setiap Ahad hingga Selasa, pukul 8.35 malam di TV2. Drama 17 episod ini membariskan pelakon hebat Korea seperti Song Ji-hyo, Byun Yo-han, Jang Ji-eun, Lee Yoon-ji dan Ryu Hwa-young.

Mengangkat kisah seorang penerbit filem wanita yang berjaya bernama Kim Soo-jin. Soo-jin bekerja di syarikat Jung In Films dan telah memperolehi hak untuk mengeluarkan filem bertajuk “Crossing Aknok River”. Syarikat itu juga telah mendapat kontrak untuk menerbitkan sebuah filem berdasarkan cerita komik kartun oleh artis terkenal Bang Myung-soo. Cerita kartun Myung –soo adalah kisah benar tentang hubungannya dengan tiga orang bekas kekasihnya yang bernama Na Ji-ah, Jang Hwa-young dan Ra-Ra. Filem itu diberi nama “Introducing My Girlfriends”.

Malangnya syarikat Jung In Films menghadapi masalah kewangan yang serius apabila ketua pegawai eksekutif syarikat itu meminjam banyak wang daripada syarikat kewangan tidak berlesen dan tidak dapat membayar balik pinjaman tersebut. Syarikat juga kehilangan hak untuk menerbitkan filem “Crossing Aknok River” kepada Shim Ju-hee, seorang rakan lama dan pesaing Soo-jin.

Kemudian Myung-soo memulangkan wang pendahuluan tiga juta won kepada syarikat Soo-jin untuk membatalkan kontraknya dengan syarikat Jung In Films kerana dipengaruhi oleh Ju-hee tetapi akhirnya dia masih membenarkan Soo-jin menerbitkan filem “Introducing My Girlfriends” untuk mengingati kembali detik-detik lampau mereka bersama.

Myung-soo menjemput tiga orang bekas kekasihnya ke syarikat Jung In Films dan kekecohan berlaku apabila mereka bertemu. Pada masa yang sama dua orang pemiutang syarikat kewangan datang ke pejabat Soo-jin untuk menuntut bayaran balik pinjaman. Soo-jin terpaksa bertemu setiap bekas kekasih Myung-soo secara berasingan untuk memujuk mereka memberi kebenaran menerbitkan filem tersebut kerana filem itu mengenai hubungan cinta mereka dengan Myung-soo tetapi mereka menolak permintaan Soo-jin. Soo-jin juga terpaksa mencari pelabur untuk membiayai kos pengeluaran filem tersebut.

Draf skrip yang ditulis oleh Soo-jin bagi filem tentang bekas kekasih Myung-soo ditolak oleh Hwa-young. Oleh itu Myung-soo sendiri cuba menulis skrip filem tersebut tetapi masih memerlukan bantuan Soo-jin. Malangnya Na Ji-ah dan La-la juga tidak berpuas hati dengan bahagian skrip yang melibatkan watak mereka. Akhirnya Myung-soo terpaksa menyediakan dua skrip bagi filem tersebut. Skrip sebenar dan satu lagi untuk dibaca oleh bekas kekasihnya. Skrip sebenar telah dihantar kepada pemilik syarikat Oz, Cha Young-jie, yang juga tuning kepada Hwa-young. Oleh itu Hwa-young mendapat tahu bahawa Myung-soo telah menipunya dengan skrip palsu.

Selepas penipuan tentang skrip palsu itu terbongkar, berlaku pergaduhan antara ketiga-tiga bekas kekasih Myun-soo dengannya dan juga Soo-jin. Hwa-young mengugut akan menarik balik pelaburan Syarikat Oz dalam filem itu. Pada keesokan harinya, Myung-soo dan Soo-jin pergi ke pejabat Hwa-young untuk merayu supaya terus melabur dalam penerbitan filem itu. Mereka berjumpa pemilik Syarikat Oz, Cha Young-jie, dan makan bersama. Seorang rakan baik Young-jie yang bernama Jo Geon dijemput makan bersama. Sebenarnya Young-jie meminta Jo Geon menjadi pengarah filem “Introducing My Ex- Girlfriends”. Akhirnya Hwayoung tidak menarik balik pelaburan dalam filem tersebut disebabkan Soo-jin bersetuju tidak akan mendedahkan hubungan lampau Hwa-young dengan Myung-soo kepada tunangnya.

Soo-jin gembira apabila dipuji oleh pengarah filem terkenal Jo Geon. La-la pula ingin berjumpa Jo Geon dan merayu kepada Hwa-young untuk mengajak Jo Geon keluar supaya mereka boleh bertemu tetapi Hwa-young enggan berbuat demikian kerana dia risau Jo Geon akan mengetahui tentang hubungannya dengan Myung-soo. Ketiga-tiga bekas kekasih Myung-soo bertemu di restoran Na Ji-ah dan untuk menyimpan rahsia hubungannya dengan Myung-soo, dia mengatakan Soo-jin adalah teman wanita Myung-soo.

Sementara itu syarikat Oz menganjurkan perkelahan untuk semua yang terlibat dalam pembikinan filem “Introducing My Ex- Girlfriends” supaya dapat menjalin hubungan yang baik antara semua pihak demi kejayaan filem tersebut. Beberapa insiden lucu berlaku semasa perkelahan itu. Penipuan bekas kekasih Myung-soo hampir terdedah. Jo Geon dapat mengecam ketiga-tiga bekas kekasih Myung-soo. Rakan baiknya Cha Young-jie tidak menyedari tunangnya Hwa-young merupakan salah seorang daripada mereka. Jo Geon juga mensyaki Soo-jin bukan kekasih Myung-soo.

Jo Geon mensyaki Hwa-young yang bertunang dengan kawan baiknya Cha Young-jie, juga merupakan bekas kekasih Myung-soo. Dia menasihatkan Hwa-young untuk memberitahu tunangnya tentang hubungannya dengan Myung-soo sebelum ini. Jo Geon juga tidak ingin mengarahkan filem itu lagi sebab penipuan bekas kekasih Myung-soo tentang banyak perkara. Mereka meminta La-la menggoda Jo Geon tetapi tidak berjaya. Soo-jin juga cuba memujuk Jo Geon supaya meneruskan penglibatannya dalam filem tersebut.

Apakah yang akan terjadi akhirnya? Adakah filem itu berjaya disiapkan? Saksikan kesudahan kisah mereka dalam drama hebat arahan Kwon Seok-jang ini di saluran TV2.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

 

- ### -

 

 

 

Cetak Emel

offcanvas