Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Musafir

Dikemaskini pada .

 

Mawi Hos Travelog Islamik, “Musafir” Sepanjang Ramadan Ini di TV2

   

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2018 – Antara tarikan kepada penonton menyaksikan saluran TV2 sepanjang Ramadan ini menerusi program travelog terbaharu, “Musafir” yang menampilkan Mawi sebagai hos program.

Berkonsepkan travelog Islamik, pengacara Mawi akan bermusafir dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi ke serata tempat di Malaysia. Sepanjang 26 episod, dipaparkan kampung dan masyarakat berbeza melalui keunikan makanan, budaya, cara hidup yang membawa kepada nilai-nilai Islam dan sejarah penempatan tersebut.

Bersiaran mulai 17 Mei ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5.00 petang di TV2, episod pengenalannya membawa Mawi ke Kampung Pauh, Terachi, Negeri Sembilan. Tempat pertama persinggahan Mawi di sini adalah Masjid Kariah Kampung Pauh. Ketua Kampung membawanya bertemu dengan peserta-peserta kursus umrah yang sedang berlangsung. Masjid ini pernah memenangi Anugerah Masjid Contoh peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2001 dan 2009. Berikutnya Mawi dibawa oleh Tok Ketua menziarahi ibu tunggal empat orang anak termasuk seorang anak istimewa. Kemudiannya Mawi bersama Tok Ketua ke gerai menjual itik salai yang menjadi identiti dan tarikan pelancong ke sini. Mawi membeli itik salai dan dibawa pula ke rumah Mak Cik Zaharah yang memasaknya sebagai Itik Salai Rendang.

Mawi kemudiannya ke Kampung Duyong, Melaka yang dipercayai sebagai kampung asal Hang Tuah. Destinasi utama beliau kali ini adalah Galeri Hang Tuah. Seterusnya Mawi menuju ke Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, antara masjid tertua di Melaka, dipercayai dibina oleh Hang Tuah dan telah diwartakan sebagai Warisan Negara. Berikutnya Mawi menziarahi seorang asnaf yang tiba-tiba kehilangan penglihatannya semasa berumur 35 tahun. Kali ini Mawi membeli makanan di bazar Ramadan sebelum meneruskan perjalanan dan berbuka sendirian di tepi jalan.

Mawi menuju ke Kota Bharu, Kelantan pula. Setelah lapan jam perjalanan Mawi sampai ke Kg. Semut Api yang terletak di pesisiran Pantai Cahaya Bulan. Destinasi pertama bengkel membuat batik. Mawi meneruskan perjalanan dan menuju ke masjid Masjid Al-Syakirin diminta melaungkan azan setelah masuk waktu Asar pada ketika itu. Setelah selesai solat Asar, Mawi mengunjungi penduduk tertua di kampung tersebut dan menyampaikan sumbangan berserta berbuka puasa bersama Pok Harun dan isterinya.

Destinasi perjalanan seterusnya FELDA Bukit Rokan Barat, Negeri Sembilan. Mawi memilih untuk ke sana atas cadangan kawannya yang berasal dari situ dan menyertai mereka bergotong-royong. Mawi dibawa ke rumah Abang Shah, seorang pengusaha jangek. Jangek adalah masakan tradisi yang berasaskan kulit lembu. Mawi ditunjuk dan diterangkan cara-cara memproses jangek sebelum membantu Abang Shah menyediakan Masak Lemak Cili Api Jangek Campur Mangga Muda. Sementara menunggu waktu berbuka mereka ke rumah Puan Sharifah Ahmad, ibu tunggal dengan dua orang anak yang turut menjaga bapanya yang mengalami sakit gout kronik. Pada malam itu Mawi berbuka puasa di rumah Abang Shah menikmati masakan jangek dan seterusnya bermalam di situ.

Mawi sampai ke Kg. Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak dan disambut Ketua Kampung tersebut. Mereka mengunjungi asnaf di situ dan menyampaikan sumbangan. Mawi berbuka puasa di rumah Tok Ketua. Sementara menanti waktu berbuka, mereka ke rumah pengusaha tekat di kampung tersebut. Mawi juga sempat mencuba melakukan tekat. Kembali ke rumah Tok Ketua, Mawi telah berbuka bersama Pak Usop dan Pak Imam sekali. Pada malam tersebut Mawi juga menyertai permainan “Mengantor”. Permainan yang unik ini dilakukan oleh penduduk kampung pada bulan puasa sahaja.

Seterusnya di Kampung Kundangan, Terachi, Negeri Sembilan, Mawi singgah membeli dan belajar membuat lemang. Mawi dibawa melihat ‘megalitik’ atau batu hidup yang terletak berhampiran. Meneruskan perjalanan Mawi bertemu ketua kampung. Dari maklumat Tok Mat, Mawi ke sebuah rumah yang didiami oleh seorang anak yatim piatu bernama Haikal. Selepas menyampaikan sumbangan Mawi ke rumah Tok Mat dan mendengar pula daripada Tok Mat bagaimana asal-usul adat pepatih sampai ke Negeri Sembilan. Sebaik masuk waktu Maghrib Mawi berbuka puasa bersama.

Lain-lain lagi kampung yang Mawi kunjungi termasuklah Kampung Pulai, Merlimau, Melaka, Kg. Badang, Kota Bharu, Kelantan, Kampung Bandar, Banting, Selangor yang terkenal dengan keindahan dan berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Selangor, dan Kampung Kok Klang, Mata Ayer, Perlis. Dalam perjalanan ke sana Mawi telah singgah di sebuah tanah perkuburan untuk menziarahi pusara Yussry Edoo atau Yus Jambu.

Ada juga episod lawatan Mawi ke Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat, Kelantan untuk melihat cara-cara membuat serunding, Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak melihat tempat bermain meriam besi yang menjadikan Kampung Talang begitu popular. Akhir sekali Mawi singgah di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor menceritakan secara terperinci tentang asal-usul Kuala Kubu sehingga terbinanya Kuala Kubu Bharu termasuk bagaimana nama Ampang Pecah diperolehi. Mawi ke rumah seorang asnaf dan menyerahkan sumbangan dan seterusnya berbuka puasa bersama.

 

- ### -

 

 

Cetak Emel

offcanvas