Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Assalammualaikum Beijing

Dikemaskini pada .

Filem Indonesia, “Assalammualaikum Beijing” Lakonan Revalina S. Temat di TV2

 

Slot Layar Asia bakal berkongsi dengan seluruh penonton setia salurannya tayangan filem Indonesia bertajuk Assalamualaikum Beijing pada 14 Julai ini, pukul 9.30 malam di TV2 yang diangkat dari novel dengan judul sama karya Asma Nadia.

Babak percintaan yang sangat menyentuh perasaan ini sarat dengan pengajaran bahawa sesuatu yang ditentukan Sang Pencipta itu pasti ada hikmah di sebaliknya meskipun pada mulanya sukar untuk menerima suratan takdir yang berlaku.   

Sama-sama kongsikan liku perjalanan watak Asmara (Revalina S. Temat) yang hatinya begitu hancur ketika dia mengetahui calon suaminya, Dewa (Ibnu Jamil) curang dengan teman sepejabatnya, Anita (Cynthia Ramlan) sehari sebelum majlis pernikahan mereka berlangsung.

Namun hakikatnya lebih parah lagi apabila Asma mengetahui hasil  daripada hubungan terlarang itu, Anita hamil di luar nikah. Ketika itu Dewa begitu menyesal dan secara berterusan memohon maaf kepada Asma. Dia bersungguh-sungguh mahu meneruskan pernikahannya dengan Asma. Namun hakikatnya hati Asma sudah terluka dan tidak mungkin untuk sembuh lagi.

Pada masa sama untuk menghilangkan kesedihannya, Asma pun menerima tawaran pekerjaan di Beijing yang diperolehnya dari bantuan rakannya iaitu Sekar (Laudya Cynthia Bella) dan suaminya Ridwan (Deddy Mahendra Desta).

Mereka membantu Asma yang berbakat dalam bidang penulisan mendapatkan tawaran bekerja di Beijing sebagai penulis kolum yang khusus mengulas tentang negara tersebut. Sekar sebagai sahabat baik begitu mengharapkan agar Asma dapat membuka lembaran baru dalam hidupnya tanpa dibayangi lagi oleh kisah cintanya dengan Dewa.

Ketika dalam perjalanan untuk sampai ke Beijing, Asma telah bertemu dengan pemuda Cina bernama Zhongwen (Morgan Oey), yang memperkenalkannya dengan legenda cinta Ashima, puteri cantik dari Yunan. Perasaan Asma berbelah bahagi dan fikirannya berkecamuk bila mengetahui Dewa menjejaknya hingga ke Beijing.

Sedikit demi sedikit hati Asma terbuka kembali untuk menyintai lelaki kerana kebaikan dan perhatian diberikan oleh Zhongwen. Namun sayangnya, sebelum hubungan mereka diteruskan ke fasa seterusnya, Asma disahkan menghidap penyakit APS, sebuah sindrom yang membuat nyawanya terancam dan boleh menyebabkan kematian mengejut.

Adakah Zhongwen nekad untuk terus memiliki Asma dan bersedia kehilangan gadis disayanginya itu? Bagaimana pula Dewa yang terumbang ambing hidupnya samada mahu mengejar cinta Asma atau meneruskan hidup bersama-sama Anita?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

Cetak Emel

offcanvas