Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Lelaki Itu Untukku

Dikemaskini pada .

Azam Pitt dan Risteena Munim Bersatu Dalam Drama Bersiri “Lelaki Itu Untukku” Di TV2

 

Gandingan dua pelakon, Azam Pitt dan Risteena Munim dipertemukan dalam drama bersiri konflik anak dengan bapa kandungnya dalam tajuk “Lelaki Itu Untukku” yang sedang bersiaran sejak 2 Julai lalu, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 8.30 malam di TV2.

Menggalas watak sebagai Idlan, abang tiri kepada watak Orked lakonan Risteena Munim, Azam Pitt bertanggungjawab dalam membentuk kembali sikap Orked yang sebenarnya mendambakan perhatian daripada ayahnya, Hamdan (Zamarul Hisham). Turut membintangi drama 13 episod ini menghidupkan watak Maria, ibu Orked iaitu Marissa Yasmin.

Ikuti kisah Orked anak gadis Hamdan dan Maria telah ditangkap polis di sebuah pusat hiburan. Maria, ibu Orked menghantar Idlan untuk membayar wang jaminan dan membawa Orked pulang namun selepas dibebaskan, Orked masih dengan perangai lamanya. Idlan menemani Orked ke mana sahaja kerana dia telah berjanji dengan Maria untuk sabar dengan kerenah Orked.

Perkahwinan Hamdan dan Maria tidak dipersetujui Orked. Maria sedar dia tidak layak menggantikan arwah ibu Orked namun dia cuba untuk menjernihkan hubungan Hamdan dengan anaknya itu. Idlan membawa Orked berehat di Bukit Tinggi. Di sana Pak Man dan Mak Tun menyambut dengan penuh kasih sayang. Idlan berharap Orked menemui ketenangan dan perhatian sepenuhnya. Hamdan pula langsung tidak ambil tahu tentang anaknya yang baru keluar dari penjara. Bagaikan ada satu dendam hingga Orked dibesarkan jauh dari kasih seorang ayah.

Idlan cuba untuk membahagiakan Orked. Kehidupan di sana terlalu janggal buat Orked apatah lagi Pak Man dan Mak Tun seolah cuba mengongkong kehidupannya. Dia kerap memberontak. Dia memiliki sebuah kotak yang menyimpan semua nota kerinduannya pada arwah ibu yang dalam diam mengundang curiga Idlan.

Suatu malam mereka bertengkar dan Idlan merampas kotak itu. Orked sedih kerana ruang peribadinya tidak dihormati. Idlan membaca nota satu persatu dan dia mula menyesal dengan tindakan itu. Dia cuba memujuk kembali Orked namun tidak semudah itu. Maria pula cuba memujuk keduanya berbaik namun sikap panas baran Hamdan menggagalkan usahanya.

Nadia pulang ke tanahair mencari jawapan dari Idlan tentang hubungan mereka yang terpisah. Idlan memperkenalkan Orked sebagai kekasih barunya dan ini membingungkan lagi hati Orked. Dalam diam, dia sebenarnya telah jatuh hati pada Idlan. Orked menumpang kasih Pak Man dan Mak Tun dianggap seperti keluarganya namun cukup seminggu Orked mahu pulang ke rumahnya.

Dia sebenarnya risau kerana Idlan telah pulang lebih awal. Idlan sebenarnya menghidapi penyakit kanser. Dia merahsiakan penyakit itu terutama keluarganya dan Nadia. Dua keluarga akrab itu berantakan kerana rahsia Idlan itu. Kepulangan Orked tidak disambut bapanya. Orked cuba untuk berubah namun sikap bapanya tidak pernah berubah. Hanya pada tuhan tempat Orked mengadu. Lain pula dengan Nadia, sejak putus cinta dia semakin hilang pedoman dan hidup dalam kemurungan hingga sanggup bertindak untuk membunuh diri.

Idlan berjaya membentuk Orked dan mengubah sikapnya. Ternyata Orked semakin senang apabila Idlan dan Maria mengambil berat tentang dirinya biarpun Hamdan masih membenci anak sendiri. Hamdan terlalu menyayangi Idlan dan mahu Idlan mewarisi perniagaannya. Dia hilang harapan terhadap Orked yang tidak seperti Idlan apatah lagi Maria pula yang semakin memanjakan dan membela Orked.

Perubahan besar Orked dirasai oleh Maria serta Idlan dan dia kini kembali ke kolej dan fokus kepada pendidikannya. Nadia semakin pulih dari kemurungan. Dia mula berbicara bersama ibu bapanya dan menerima takdir yang tersurat dan berusaha membuang bayangan Idlan.

Rakan karib Idlan bernama Tengku Emry muncul kembali. Dia menyimpan banyak rahsia Idlan dan kini telah jatuh hati pandang pertama dengan Orked. Satu hari, ketika Idlan membawa Orked untuk bertemu Emry, kelibat mesra mereka dilihat Nadia dari jauh lalu dia rebah dan kekecewaan kembali menghantui dirinya.

Kehadiran Tengku Emry rakan karib Idlan membawa konflik cinta tiga segi. Dia tidak sedar bahawa Idlan juga menaruh kasih terhadap Orked. Idlan buntu, antara perasaan cinta atau tanggung jawabnya sebagai abang tiri kepada Orked. Keadaan Nadia semakin berlarutan. Dia cuba membunuh diri dan tindakan itu menyedarkan Idlan. Nadia ditinggalkan tanpa alasan kerana dia tidak mahu penyakit yang menimpa dirinya mengundang simpati dan ihsan.

Semenjak kehadiran Emry, cinta Orked terhadap Idlan semakin berkembang. Dia yakin cintanya tidak berbalas namun menyimpan harapan. Sesekali rasa cemburu menjelma, Orked curiga bahawa Idlan dan Nadia masih berhubungan. Idlan rimas dengan keadaan itu dan kadang kala berlaku pertengkaran. Orked tertekan apatah lagi Emry juga tidak putus asa mendekati dirinya. Lalu apakah kesudahannya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

Cetak Emel

offcanvas