Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Drama Terbaik Hari Raya Haji 2019 Di RTM

Dikemaskini pada .

Drama Terbaik Hari Raya Haji 2019 Di RTM

 

Seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia pada Ahad, 11 Ogos 2019 Masehi. Hari Raya Aidiladha ada keistimewaan dan keberkatan tersendiri walaupun ia tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri yang signifikan dengan ibadah berpuasa selama sebulan.

Selain dikaitkan dengan ibadat korban, Zulhijjah juga memiliki banyak kemuliaan yang mungkin kurang diketahui atau diamalkan oleh masyarakat. Oleh itu, setiap Muslim perlu menggali ilmu supaya tidak tertinggal kelebihan bulan yang bukan saja untuk mengejar ganjaran pahala, bahkan meningkatkan amal dan keimanan kepada Allah SWT.

Aidiladha juga amat signifikan kerana ketika umat Islam daripada segenap pelosok dunia menunaikan ibadat haji, orang Islam di mana-mana pun melakukan ibadat sembelihan yang dapat mendorong kita berkongsi rezeki dengan agihan secara menyeluruh sama ada tergolong dalam kategori kaya atau miskin.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut berkongsi kemuliaan sambutan Raya Haji ini menerusi tayangan drama menarik bermula “Qarraba” disiarkan pada 10 Ogos ini, pukul 8.00 malam di TV Okey, dan esoknya “Tetamu Iman” (11 Ogos, pukul 3.05 petang di TV1).

“Qarraba” membawakan cerita suami isteri, Husin dan Fatimah mendapat tawaran mengerjakan haji ke Mekah dan tinggal di sebuah rumah panjang di Padawan, Sarawak. Mereka memikirkan keadaan anak mereka iaitu Ucak dan Saf semasa mereka di Mekah nanti. Ucak cacat selepas demam panas dan perlu berulang ke hospital untuk rawatan masalah pernafasan.

Husin dan Fatimah mula hadir ke kursus haji yang dikendalikan oleh Tabung Haji. Miring rasa tidak berpuas hati dengan berita Husin dan Fatimah akan ke Mekah apabila sifat dengki mula menguasai dirinya. Mereka juga ditegur oleh beberapa orang penduduk yang berpendapat mereka mengabaikan Ucak dan Saf. Miring juga berdepan dengan Husin dan menegur mereka tentang penjagaan Ucak dan Saf. Miring semakin berani apabila bertumbuk dengan seorang ustaz namun berjaya diselamatkan oleh Husin.

Husin ditimpa musibah apabila rumahnya telah dimasuki pencuri serta kemalangan lori namun beliau redha dan menganggap sebagai ujian Allah. Saf panik apabila beliau mendapati Ucak tiada di rumah. Beliau bergegas ke sungai dan sempat menyelamatkan Ucak yang sedang lemas angkara perbuatan Miring. Ucak beransur pulih dan telah keluar dari hospital. Miring insaf dan masyarakat kampung bergotong-royong untuk ibadah korban semasa menyambut Hari Raya Aidiladha dengan suasana harmoni.

Drama yang diselitkan dialek Sarawak ini menampilkan pelakon Mahmud Ali Basha, Hartini Adu Rahman, Taridi Mohamad, Kahar Jani dan Mazlan Hipni.

Dalam “Tetamu Iman” lakonan Zahiril Adzim, Izzue Islam, Sharonizam Noor, Arel Azimi, Harith Haziq, Safura Ya'cob dan Nur Hidayah Afidzul mengisahkan kehidupan Iman yang dipelihara sebagai anak angkat oleh makciknya Saidah setelah kehilangan ibu dan bapanya dalam tragedi kebakaran rumahnya. Kehadirannya dianggap satu bebanan oleh pakciknya, Jalil yang juga mempunyai dua orang anak kandung.

Hiduplah Iman dengan keluarga angkat seadanya. Sering berlaku pertengkaran antara makcik dan pakciknya kerana makciknya sering menyebelahi Iman dalam banyak perkara. Makciknya pula meninggal dunia akibat dipatuk ular ketika mengerjakan tanah pusaka Iman. Pakciknya semakin berang dan menganggap Iman pembawa sial. Namun Iman menerima cacian tersebut dengan hati yang tenang malah dalam diam membantu pakciknya dalam banyak perkara.

Beliau memberi laluan kepada saudara angkatnya melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun beliau memperolehi keputusan peperiksaan yang lebih baik demi berbakti kepada pakciknya yang keseorangan dan kurang sihat. Beliau mengusahakan tanah kebun dan berjaya menuai hasil yang lumayan. Sementara saudara angkatnya gagal dalam pekerjaannya sehingga rumah dan tanahnya tergadai. Iman membawa pakciknya berpindah ke rumah pusaka yang telah dibaiki sebagai tempat kediaman mereka yang baru. Pakciknya menyesali perbuatannya kepada Iman dan memohon maaf.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

Cetak Emel

offcanvas