- Utama
- Pengguna
- Awam
- Siaran Media
- SIARAN MEDIA - PUTEH PASIR MANTANANI
Siaran Media
SIARAN MEDIA - PUTEH PASIR MANTANANI
“PUTEH PASIR MANTANANI”, TELEFILEM PANGGUNG RTM SEMPENA HARI MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 8 September – Mengangkat tajuk “Puteh Pasir Mantanani”, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama TV menerbitkan sebuah telemovie khas sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September ini.
Bersiaran mengisi slot Panggung RTM, pukul 9.00 malam di TV1, telemovie arahan Erfan Zainialdin (Unit Drama TV RTM) ini membariskan pelakon utama yang diterajui oleh Zarra Zhaf sebagai Puteh, Eunice Khaw Yan Xi, Ebi Kornelis, Sherie Merlis, Sabhi Saddi, Dayang Areeda, dan Fikhree Bakar. Turut berlakon Wan Walla, Daniesh Suffian, Syaiful Zero, Abu Bakar Ella dan Norzahira Abdullah.
Telemovie yang menjalani penggambaran di Pulau Mantanani di Kota Belud, Sabah ini mengisahkan tentang dua adik beradik perempuan yang saling mengasihi antara satu sama lain namun berbeza tahap pendidikan. Qaseh bijak dalam pelajaran manakala seorang lagi yang bernama Puteh sangat lemah dalam pelajaran dan sering diabaikan oleh keluarganya sendiri.
Qaseh sentiasa mendapat perhatian yang lebih oleh ibu dan ayahnya, sebaliknya Puteh selalu membantu ayahnya, Sarkani yang bekerja sebagai nelayan kecil. Oleh kerana kemiskinan, Puteh jarang ke sekolah dan adakalanya dia membantu ibunya bekerja di resort sebagai tukang cuci.
Kehadiran seorang guru baru bernama Cikgu Azam yang ditugaskan untuk mengajar di sekolah Pulau Mantanani telah mengubah nasib Puteh. Cikgu Azam ditugaskan untuk melatih beberapa pelajar terbaik yang telah dipilih oleh sekolah termasuk Qaseh dalam sukan olahraga untuk menyertai pertandingan peringkat sekolah negeri Sabah.
Cikgu Azam amat bersungguh-sungguh dan komited melatih pelajar-pelajar di sekolah tersebut sehingga beliau terpaksa tinggal di pulau Mantanani untuk fokus melatih mereka.Suatu hari, Cikgu Azam melihat Puteh sedang melarikan diri dari dikejar oleh sekumpulan kanak-kanak kerana dituduh mencuri. Cikgu Azam dapat melihat kepantasan serta kelincahan Puteh berlari dan mula merasakan bakat budak perempuan itu perlu digilap.
Sewaktu pemilihan wakil pelajar, Qaseh tidak dapat menyertai pertandingan sukan tersebut. Disebabkan Qaseh menjadi harapan sekolah, Puteh diberi peluang untuk menggantikan kakaknya. Cikgu Azam bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya untuk melatih Puteh dan pada akhirnya dibenarkan oleh ibu bapa Puteh dan beliau mula melatih Puteh. Tarikh pertandingan sukan semakin dekat. Pelbagai dugaan serta cabaran yang dilalui oleh Cikgu Azam dalam melatih Puteh.
Mampukah Cikgu Azam mengasah bakat Puteh hingga berjaya? Saksikan kesudahan hasil usaha Cikgu Azam hingga berjaya mengubah nasib Puteh dan keluarganya dalam “Puteh Pasir Mantanani” khas Hari Malaysia ini di TV1.
Bagi anda yang terlepas untuk menonton rancangan di TV1, anda berpeluang menontonnya menerusi RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my).
TAMAT