- Utama
- Pengguna
- Awam
- Siaran Media
- SIARAN MEDIA - TRAVELOG PELBAGAI GENRE, OKTOBER INI DI RTM
Siaran Media
SIARAN MEDIA - TRAVELOG PELBAGAI GENRE, OKTOBER INI DI RTM
TRAVELOG PELBAGAI GENRE, OKTOBER INI DI RTM
KUALA LUMPUR, 26 September 2023 – Kepada anda yang gemarkan program berbentuk travelog, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai Oktober ini menawarkan travelog pelbagai genre khas buat anda penonton setia saluran Okey.
Pilih sahaja daripada travelog yang membawa anda mengembara ke destinasi menarik dan popular, kembara sungai, memaparkan keindahan budaya dan warisan, pencarian barang-barang antik hinggalah travelog menjejak lokasi menarik yang jarang dikunjungi oleh orang ramai.
Dalam pengisian slot Chek In Okey bakal membawa tontonan semua mengikuti program “Sarawak Ekspress 1000” yang mana penonton boleh bersama-sama meneroka keindahan dan keunikan negeri Sarawak dari Teluk Melano hingga ke Lawas. Menampilkan gandingan hos Zainal Ariffin Ismail dan Amzarul Hakimi Rahman, program 13 episod ini bermula 6 Oktober ini, setiap Jumaat, pukul 5.00 petang.
Menerusi travelog “Ekspedisi Rajang” mulai 6 Oktober ini, setiap Jumaat, pukul 11.00 malam pula, ia akan memaparkan pengembaraan hos menyusuri Sungai Rajang, sungai yang terpanjang di Malaysia. Pengembaraan bermula dari muara Sungai Rajang di jeti Tanjung Manis hingga ke Empangan Bakun di daerah Belaga. Hos juga akan berlabuh di beberapa lokasi yang menarik di sepanjang Sungai Rajang untuk mengenali budaya masyarakat tempatan dan mendalami aktiviti harian mereka.
Kemudiannya saksikan program bertajuk “Bagagar Bah!” mulai 9 Oktober ini, setiap Isnin, pukul 10.30 malam. Menariknya travelog ini akan memaparkan keindahan, budaya dan warisan milik negeri Sabah. Sepanjang 13 episod, hos Yuri Mejal akan menemani anda sebagai hos program.
Akhir sekali kepada penggemar barangan antik, sama-sama saksikan travelog bertajuk “Vintaj Borneo” mulai 10 Oktober ini, setiap Selasa, pukul 8.30 malam. Ia kisah sebuah pengembaraan mencari barang-barang antik di Sarawak yang menjadi trend masa kini. Travelog ini menonjolkan kemunculan pelakon lelaki sebagai hos iaitu Azwan Kombos.
Saksikan empat travelog pilihan ini di saluran Okey atau boleh juga ditonton menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).
TAMAT