Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Siaran Media

SIARAN MEDIA - Jelajah Hati

Dikemaskini pada .

 

 

Faizal Tahir Jejak Masjid, Makam Tersohor, Pemuzik Jalanan Indonesia Dalam Travelog “Jelajah Hati” di TV1

 

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2018 – Penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir bakal muncul sebagai hos sebuah program travelog terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Menggunakan tajuk “Jelajah Hati”, program 13 episod yang menemui penonton mulai 21 Julai ini, setiap Sabtu, pukul 12.30 tengah hari di TV1 ini menonjolkan ikatan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia yang sememangnya sangat kuat.   

Memaparkan kisah perjalanan Faizal Tahir dalam misinya cuba menjejaki dan berkongsi pengalaman mengenai makam-makam tersohor dan masjid-masjid bersejarah di Pulau Jawa. Beliau sempat juga melawat rumah kebajikan dan sebelum berangkat pulang ke Malaysia, beliau sempat bersama menimba pengalaman dengan satu kumpulan pemuzik jalanan di Jakarta.

Sama-sama ikuti pengembaraan Faizal Tahir bermula dari Surabaya ke Situbondo. Di situ terletaknya Pesantren Salafiyah Syafi'iyah Sukorejo. Antara keunikannya pensantren tersebut menerapkan pelajaran muzik kepada pelajarnya sebagai salah satu kaedah berdakwah. Menariknya Faizal juga berpeluang bertemu dengan empat orang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana.

Jelajah Hati seterusnya memaparkan beliau meneruskan perjalanannnya ke Kota Gresik. Di Kota Gresik beliau melawat Makam Sunan Giri dan tempat-tempat bersejarah yang lain serta mempelajari serba sedikit tentang sejarah Sunan Giri. Beliau seterusnya ke Makam Sunan Gresik dan diberi penjelasan mengenai kekeliruan yang sering timbul berkaitan dengan salasilah keturunan Sunan Gresik. Pengembaraan diteruskan dengan mengunjungi Makam Sunan Drajat yang mencintai fakir miskin dengan memberi makan dan membantu mereka. Paparan seterusnya adalah barang-barang lama peninggalan Sunan Drajat seperti beduk, kitab-kitab lama dan alat-alat muzik tradisional.

Menarik dalam episod enam menjejaki Makam Maulana Malik Ibrahim Asmoroqondi yang terletak di Tuban. Beliau adalah bapa kandung Sunan Ampel. Kemudian beliau meneruskan perjalanannya ke Makam Sunan Bonang yang juga terletak di Tuban.

Kisah Masjid Agung Demak turut dikongsikan dengan meninjau struktur dan asas binaan masjid tersebut sambil bermesra dengan penduduk tempatan mengenai sejarah masjid tersebut. Meneruskan perjalanannya ke Semarang, rumah kebajikan yang menempatkan kanak-kanak terbiar yang mengalami masalah sosial. Rumah tersebut berperanan menyelamatkan kanak-kanak ini dengan menyediakan pendidikan secara lebih tersusun. Pada awalnya program ini mendapat halangan dari keluarga, kerana kanak-kanak ini adalah sumber pendapatan keluarga sebagai peminta sedekah. Namun akhirnya mereka akur demi masa depan anak anak mereka. Di sini juga Faizal Tahir masih bersama-sama dengan penghuni Rumah Rubbik mendendangkan beberapa buah lagu dan menunaikan solat bersama penghuni.

Dari Semarang Faizal bergerak menuju ke Yogjakarta. Kota penuh seni dan budaya. Beliau berkesempatan menonton persembahan muzik dan syarahan agama dari Kumpulan Kiai Kanjeng. Kumpulan dakwah ini dipimpin oleh seorang seniman yang bernama Cak Nun. Faizal berpeluang melontarkan beberapa soalan mengenai agama, muzik dan dakwah.

Kesempatan yang ada digunakan melawat Muzium Keraton Yogjakarta dan Masjid Gede Mataram yang terletak di Kota Gede. Beliau juga mendendangkan sebuah lagu kepada para pelajar yang kebetulan juga membuat lawatan ke masjid tersebut.

Istimewanya dalam episod berikutnya Faizal Tahir bertemu Sakti, bekas pemuzik Sheila On 7 yang dikenali kini sebagai Salman Al Jugjawy. Beliau berbesar hati menceritakan kisah penghijrahannya daripada seorang ahli muzik kepada seseorang yang lebih cenderung kepada agama. Tujuannya sebagai pedoman untuk semua. Selepas itu Faizal melawat Makam Sunan Gunung Jati. Makam ini merupakan makam wali terakhir yang dikunjungi. Beliau meneruskan perjalanannya ke Masjid Agung Cirebon atau lebih dikenali sebagai Masjid Agung Sang Cipta Rasa. Beliau diberi taklimat mengenai keunikan masjid ini.

Di samping itu Faizal Tahir sempat bertemu dengan Armand Maulana, vokalis kumpulan muzik Gigi yang cukup dikenali di Indonesia. Kemudiannya beliau melawat Muzium Wayang Kulit di Jakarta. Kunjungan beliau ke muzium tersebut adalah untuk mengenali sejarah wayang kulit secara lebih dekat.

Episod akhir menemukan Faizal Tahir dengan Pak Herman, seorang penggiat seni muzik gamelan. Beliau menceritakan sejarah dan perkembangan muzik ini sehingga pengaruhnya sampai ke Semenanjung Tanah Melayu. Menurutnya jika di Indonesia muzik gamelan ini mengiringi pelbagai aktiviti seni umpamanya muzik iringan dalam permainan wayang kulit, wayang wong dan lainnya. Berbeza di negara kita, ia dipersembahkan di istana atau di majlis- majlis rasmi kerajaan. Beliau berbangga dengan inisiatif yang di ambil oleh Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendaulatkan muzik gamelan ini sebagai salah satu aktiviti pelajar dan menjadikannya muzik iringan ketika majlis konvokesyen universiti tersebut.

Dalam kupasannya beliau amat bersyukur kerana diberi peluang melawat tempat-tempat bersejarah dan banyak pengajaran yang diperolehinya sepanjang lawatan tersebut.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

 - ### -

 

Cetak Emel

offcanvas